Pengenalan
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t.
dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA. Firman ALLAH s.w.t. yg bermaksud :
“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi
ALLAH ada pahala yang besar.”
(Al-Quran Surah
At-Taghabun, 64 : 15)
Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang
mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.
Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
“Tahukah engkau siapakah orang yang mandul.” Berkata
para sahabat : “Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu
Rasulullah SAW berkata : “Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai
ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah
ia meninggal dunia.”
(Maksud
Al-Hadith )
Ini mungkin
disebabkan beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak.
1. Kesilapan pertama : Kurang berdoa
1.1 Kurang
berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa
mengandung ialah
* Saidul (penghulu) Istighfar
* Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 : 8-9)
* Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali ‘Imran, 3 :
38)
* Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 :
40-41)
1.2 Kurang
berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak
membesar ialah
* Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah
Al-Baqarah, 2 : 128)
* Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah
Al-Furqan, 25 : 74)
* Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.
2. Kesilapan kedua : Banyak memberi
belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti
:
* menakutkan
anak-anak dengan sekolah
* menakutkan
dengan tempat gelap
* menakutkan
dengan hutan rimba atau bukit bukau
* menggunakan kekerasan dan
paksaan semasa menyuruh anak tidur
3. Kesilapan
ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
* tidak menjadualkan kegiatan harian
anak-anak
* terlalu memfokuskan anak-anak kepada
sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.
4. Kesilapan
keempat : Menegur anak secara negatif
* mengeluarkan kata-kata kesat dan maki
hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).
* membandingkan anak-anak dengan anak-anak
lain atau anak orang lain.
5. Kesilapan
kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical),
rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
* ramai yang lebih mementingkan pendidikan
minda dari pendidikan rohani
6. Kesilapan keenam : Kurang
memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat
mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :
Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium
Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy
sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra’ : “Ya Rasulullah! Aku mempunyai
sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.”
Rasulullah melihat kepada Aqra’ kemudian berkata : “Siapa yang tidak mengasihi
tidak akan dikasihi.”
(Maksud Al-Hadith Riwayat
Bukhari dan Muslim)
7. Kesilapan
ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
* ibu bapa tidak menunjukkan cara
berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah,
iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi di hadapan anak-anak.
8. Kesilapan
kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan
anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan
selekeh.
9. Kesilapan
kesembilan : Kurang menghidupkan
sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama,
dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang
lebih baik dari salam yang diberi.
10. Kesilapan
kesepuluh : Tidak menggantungkan
rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak
dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.
11. Kesilapan
kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang
seperti para ulama’ dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.
Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan
aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.
12. Kesilapan
keduabelas : Bertengkar di depan
anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah
seorang dari ibubapanya.
13. Kesilapan ketigabelas : Membenarkan orang yang tidak elok
sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun
sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada
anak-anak yang masih membesar.
14. Kesilapan keempatbelas : Kurang
mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media
ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan
perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh
merosakkan agama anak-anak.
15. Kesilapan kelimabelas : Terlalu
bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa
kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah
menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik
dengan didikan Islam.
(Kuliah
Mingguan Surau An-Nur , 15 Safar 1419 bersamaan 10 Jun 1998 )
(Oleh
Ustaz Khalid bin Haji Mohd Isa)