Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat
ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia
hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya
tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang
setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya
menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah
dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih
juga datang lambat keesokannya.
Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya
untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya
untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya
memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan
alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan
tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif.
Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan
rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga
kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang
berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju
sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada
murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna
dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan.
Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari
jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?" Dia terkejut dan
wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak
ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu."
Jawabnya "Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja
cikgu pukul kamu?" " Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang,
jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan
saja punggung kamu." Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya
memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......." Kejadian itu cukup
menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
Dipetik dari pengalaman seorang guru yang dedikasi.